KMI Healthcare nafi miliki hospital tahan mayat bayi 16 hari
KUALA TERENGGANU – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menafikan kaitan syarikatnya dengan sebuah hospital di Klang, Selangor.
KMI Healthcare yang merupakan anak syarikat Kumpulan TDM Berhad memaklumkan, pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan hospital yang dinamakan di dalam kenyataan media bertarikh 11 Disember 2024.
Menurutnya, penafian itu dibuat berikutan proses pengambilalihan hospital tersebut yang masih belum selesai.
“Walaupun Perjanjian Jualan Saham telah ditandatangani pada 23 Oktober 2023, perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa syarat terdahulu yang masih belum dipenuhi.
“Sehingga syarat-syarat ini dipenuhi dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai pemilikan atau tanggungjawab terhadap hospital tersebut.
“Oleh itu, KMI Healthcare tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain yang berkaitan dengan hospital berkenaan pada masa ini.
“Syarikat tetap komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua transaksinya dan akan memberikan maklumat terkini jika diperlukan,” menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook hari ini.
Penafian oleh KMI Healthcare itu dipercayai berkait dengan dengan kes mayat seorang bayi, Muhammad Adham Mikhail yang terpaksa disimpan di dalam penyimpanan sejuk beku selama lebih dua minggu di sebuah hospital kerana tidak mampu dituntut oleh bapanya.
Kisah sedih itu didedahkan oleh aktivis sosial, Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab dalam menguruskan jenazah bayi berkenaan.
Nama KMI Healthcare sebelum ini didakwa netizen memiliki hospital swasta berkenaan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















