Jenayah & Mahkamah

OP NAGA: 598 vesel nelayan asing ditahan, nilai rampasan lebih RM209 juta

PUTRAJAYA – Sebanyak 598 vesel nelayan asing (VNA) berjaya ditahan sepanjang lima tahun pelaksanaan OP NAGA sejak Mei 2019 hingga September lalu dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM209 juta.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tangkapan itu mencerminkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras pencerobohan vesel nelayan asing di perairan negara.

vesel nelayan asing (VNA) berjaya ditahan Maritim Malaysia – Foto Ihsan Maritim Malaysia

“Sebanyak 75 peratus daripada tangkapan tersebut melibatkan 451 VNA dari Vietnam, dengan seramai 4,391 kru nelayan ditahan. Nilai keseluruhan tangkapan VNA Vietnam sahaja mencatatkan lebih RM190 juta,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Rosli turut berkata, jumlah tangkapan itu masih belum mencerminkan semua vesel yang memasuki perairan negara, memandangkan kekangan aset yang dihadapi, termasuk keperluan penyelenggaraan dan keuzuran aset yang digunakan dalam operasi tersebut.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pasukan keselamatan yang terlibat dalam OP NAGA tetap komited melaksanakan operasi ini demi memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara dan hasil laut tidak dicerobohi oleh nelayan asing.

“Ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing) perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak, termasuk pasukan keselamatan dan komuniti maritim setempat.

vesel nelayan asing (VNA) berjaya ditahan Maritim Malaysia – Foto Ihsan Maritim Malaysia

“Jika dibiarkan, aktiviti itu bukan sahaja akan menjejaskan habitat ekosistem marin, malah akan mengancam pembiakan benih ikan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan,” katanya lagi.

OP NAGA merupakan operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Maritim Malaysia dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan beberapa agensi lain.

Dalam pada itu, Rosli berharap kerjasama itu akan terus diperkasakan demi memastikan keselamatan perairan negara dan kelangsungan sumber ekonomi maritim negara sentiasa terjaga.

Show More

Related Articles

Back to top button