BERITA SEMASA

Inisiatif Harmoni Madani jadi fokus Kementerian Perpaduan Negara tahun depan

KOTA KINABALU – Inisiatif Harmoni Madani dengan tema Harmoni Dalam Kepelbagaian akan menjadi fokus utama Kementerian Perpaduan Negara pada tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesinambungan inisiatif Harmoni Madani adalah dengan mengadakan pendekatan wacana ilmu.

Katanya, menerusi pendekatan itu, pihaknya akan berkongsi maklumat seperti dasar-dasar negara, kajian dan penerokaan ilmu serta nilai-nilai murni dan amalan terbaik dalam menguruskan perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia.

“Objektif utama pelaksanaan wacana Harmoni Madani adalah membudayakan amalan menyebarkan mesej keharmonian dan muhibah berasaskan konsep faham, hormat dan terima dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Selain, meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam ke arah memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Wacana Harmoni Madani: Harmoni Dalam Kepelbagaian Tahun 2024 di sini hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang melancarkan Wacana Harmoni Madani: Harmoni Dalam Kepelbagaian Tahun 2024 di Kota Kinabalu di sini hari ini.

Katanya, dalam siri wacana kali ini, barisan panelis yang terlibat bukan sahaja tertumpu kepada ahli-ahli akademik tetapi juga mereka yang berhadapan secara langsung dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia
seperti pemimpin agama, pengamal perundangan dan generasi muda.

Beliau berkata, kesemua input wacana itu akan dianalisis untuk memperkemaskan lagi Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2025 – 2030 ke arah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.

“Kesepaduan sosial bukan hanya pada makanan atau pakaian tetapi cara pemikiran untuk memahami secara mendalam kepelbagaian yang wujud di negara ini bagi mencari titik persamaan.

Barisan panelis yang terlibat dalam Wacana Harmoni Madani: Harmoni Dalam Kepelbagaian Tahun 2024 di Kota Kinabalu di sini hari ini.

“Setiap masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran akan peranan masing-masing untuk membina pemahaman yang baik diiringi nilai keluhuran budi pekerti dalam komuniti.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita semua menerapkan dan menyebarluaskan konsep faham, hormat dan terima dalam masyarakat bagi memastikan keharmonian dan
perpaduan ini kekal selamanya menjadi milik kita semua,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button