BERITA SEMASA

Kementerian Perpaduan Negara lancar program GRIP, perkasa aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 sebagai usaha untuk memperkasakan aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik.

Menurut Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang, inisiatif itu yang dilaksanakan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) merupakan langkah strategik bagi memperkukuh perpaduan.

“Program GRIP berteraskan modul silang budaya yang mengutamakan pembelajaran interaktif dan pengalaman langsung dengan fokus kepada nilai-nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya serta nilai sivik dan moral.

“Inisiatif ini menggabungkan intipati utama program perpaduan sedia ada seperti Program Kenali Kita, Kem Perpaduan Anak Malaysia dan program silang budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang

Terdahulu beliau merasmikan program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Pahang.

Mengulas lanjut katanya, inisiatif itu bertitik tolak daripada usaha memperkukuh semangat perpaduan di kalangan pelajar dan warga pendidikan.

Katanya, perpaduan nasional harus dipupuk sejak dari peringkat generasi muda kerana mereka adalah tunjang masa depan negara.

Pelancaran program GRIP merupakan usaha untuk
memperkasakan aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) telah membangunkan Indeks Perpaduan Sekolah sebagai ukuran keberkesanan pelbagai inisiatif perpaduan di sekolah-sekolah.

“Indeks ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, di mana skor perpaduan sekolah meningkat daripada 6.27 pada tahun 2021 kepada 7.10 pada 2022, dan seterusnya mencatatkan 7.51 pada 2023.

“Peningkatan ini menandakan kesan positif dan keberhasilan usaha kolektif dalam memperkukuh integrasi sosial serta nilai perpaduan dalam kalangan pelajar dan warga pendidik di seluruh negara.

“Salah satu syor utama yang digariskan dalam Laporan Indeks Perpaduan Sekolah 2022 ialah keperluan untuk memperkasakan aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik, sebagai langkah strategik memperkukuh perpaduan,” katanya.

Sementara itu beliau menegaskan pelaksanaan GRIP selaras dengan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang meletakkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan integrasi sosial dan pembentukan masyarakat inklusif sebagai teras utama negara.

Jelasnya, GRIP disusun mengikut tiga kluster utama iaitu Kluster Kenegaraan yang memberi fokus kepada pemahaman sejarah pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Selain itu, yang kedua ialah Kluster Budaya dan Adat Resam dengan memperkenalkan makanan tradisi, pakaian, perayaan, seni rakyat dan permainan tradisional pelbagai etnik.

“Manakala Kluster Nilai-Nilai Murni menanam nilai sivik dan moral dalam konteks sosial dan kewarganegaraan inklusif,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, program itu akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negeri mulai tahun ini dengan harapan membentuk pelajar sebagai ejen perpaduan dalam sekolah dan komuniti mereka.

Ujarnya, ini merupakan usaha strategik untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, inklusif dan bertanggungjawab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button