Berita Semasa

MOF lanjutkan pembayaran balik tunai pada pemilik kenderaan diesel yang layak

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) akan melanjutkan mekanisme pembayaran balik secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang masih belum menerima fleet card, hingga Ogos ini.

MOF dalam satu kenyataan semalam berkata, kemudahan itu terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada atau sebelum 30 Jun lalu.

Lanjutan itu membolehkan pemohon yang layak untuk membuat tuntutan bagi penggunaan diesel dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2024 atau sehingga menerima fleet card, atau bagi tempoh maksimum tiga bulan sahaja, mana-mana terdahulu.

“Hari terakhir untuk mengemukakan tuntutan juga telah dilanjutkan ke 15 Sept 2024,” kata kenyataan itu.

Pemohon masih perlu mematuhi terma dan syarat lain yang dinyatakan pada 28 Jun lepas, antaranya resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit dan tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan yang setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan.

MOF memberitahu pemilik kenderaan logistik yang layak boleh mula mengemukakan tuntutan bulan Ogos 2024 mulai 12 Ogos ini.

Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelanjutan pembayaran tunai itu memberi masa yang secukupnya kepada syarikat-syarikat logistik berkelayakan untuk menerima fleet card dan tidak menghadapi sebarang kesulitan menerima subsidi bersasar.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar, dan ini termasuklah memastikan semua yang berkelayakan dapat memanfaatkan bantuan ini sepenuhnya untuk mengurangkan impak kepada rakyat,” katanya.

Menurut MOF, mekanisme itu merupakan pemudah cara sementara bagi membolehkan pembayaran semula secara tunai bagi menampung perbezaan antara harga runcit diesel dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Pemilik kenderaan logistik yang layak boleh memohon untuk mendapatkan pembayaran balik tunai ini melalui portal BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button