Jenayah & Mahkamah

Polis nafi insiden culik pelajar di Semporna

SEMPORNA – Pihak polis menafikan berlaku penculikan dua pelajar sekolah menengah di daerah ini seperti yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan berhubung kejadian itu yang turut memaparkan gambar kenderaan bersama pemandu terlibat.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian yang berlaku di Jalan Tanjung Kapor pada pukul 3.40 petang semalam itu, berpunca daripada salah faham dan bukannya kejadian culik.

Menurutnya, kedua-dua pelajar berumur 17 tahun itu sebenarnya menumpang kereta sewa dari sekolah untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun selepas menurunkan salah seorang pelajar di tepi jalan, pelajar itu sempat bergurau dan berpesan kepada rakannya yang masih berada di dalam kereta supaya berhati-hati.

“Malah pemandu berumur 36 terbabit turut mengeluarkan kata-kata gurauan akan menculiknya sebelum meneruskan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Tambahnya, mungkin akibat rasa takut dan panik, menyebabkan pelajar itu membuka pintu dan terjun dari kereta.

Mengulas lanjut, Mohd Farhan berkata, kemungkinan disebabkan rasa takut dan panik, menyebabkan pelajar berkenaan membuka pintu lalu terjun dari kereta.

Terkejut dengan tindakan pelajar itu, pemandu terbabit segera memberhentikan kenderaan untuk membantu mangsa yang cedera ringan sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan.

“Pemandu telah tampil membuat laporan polis sebelum kedua-dua pihak termasuk saksi turut panggil untuk memberi keterangan dan kes telah diselesaikan secara baik.

“Orang ramai diingatkan supaya merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dikhuatiri akan menimbulkan rasa panik dan kegusaran awam,” tegasnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button