Salah faham mungkin punca kes tembak, langgar
KLANG – Insiden rempuhan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua penunggang motosikal yang dipercayai melepaskan tembakan, Khamis lalu disyaki berpunca daripada salah faham antara pihak terlibat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao bagaimanapun berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku susulan salah faham, namun beberapa aspek masih perlu diteliti.
“Dipercayai insiden ini bermotifkan salah faham, namun siasatan lanjut memerlukan masa bagi menentukan motif sebenar kejadian,” katanya, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah mengambil keterangan daripada lima individu dan akan memanggil beberapa individu lagi bagi dirakam keterangan.
Dalam kejadian pukul 9.51 pagi kelmarin, salah seorang daripada dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 difahamkan melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja kepada pemandu pacuan empat roda terbabit di Kampung Perepat, Klang.
Pemandu tersebut yang menyedari kejadian tersebut kemudiannya bertindak mengejar motosikal terbabit sehingga ke Jalan Keretapi Lama lalu melanggar mereka.
Akibat kejadian, pembonceng motosikal itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






