Buli siber: MCMC, PDRM perkukuh kerjasama
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawa kerajaan akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta mempertimbangkan
keperluan untuk menggubal atau mewujudkan akta baharu dalam menangani isu buli siber.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, pengumuman itu menghantar isyarat penting bahawa kerajaan komited dan serius dalam menangani masalah buli siber yang berlaku sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Langkah itu juga akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih efektif selain membawa mereka yang terlibat ke mahkamah sekali gus memberi pembelaan sewajarnya
kepada mereka yang terkesan.
“Bergerak ke hadapan, MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan proses membuat aduan buli siber. Sinergi bersama PDRM juga akan dikukuhkan bagi memastikan inisiatif ini berkesan dan memberi impak kepada rakyat,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, MCMC dan Kementerian Komunikasi juga merancang untuk menganjurkan siri
jelajah ke seluruh negara untuk menyebarkan mesej dan modul cegah buli siber di segenap lapisan rakyat.
Semalam, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan cara agensi-agensi terlibat dalam menangani isu buli siber.
Justeru Fahmi berkata, beberapa langkah utama sudah dibincang dengan jemaah menteri tentang cara menangani buli siber termasuk meneliti pindaan undang-undang sedia ada, meneliti keperluan untuk menggubal akta baharu, serta aspek pengurusan kelancaran hubungan antara MCMC dan PDRM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








