JENAYAH & MAHKAMAH

MCMC, PDRM banteras kegiatan pancing data melalui pautan SMS

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan memancing data (phishing) melalui pautan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurut MCMC, operasi bersepadu ini dijalankan susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis.

“Peralatan komunikasi yang disambungkan kepada kenderaan yang digunakan untuk tujuan phishing.

“Dalam operasi bersepadu semalam, suspek yang menggunakan sebuah kenderaan bagi menjalankan kegiatan phishing telah ditahan di Cheras, Kuala Lumpur apabila dia memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi menyebarkan SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi milik suspek yang juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan oleh suspek telah menemui peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan
berkenaan.

“Kesemua peralatan berkenaan yang dipercayai digunakan suspek bagi tujuan menghantar SMS untuk memperdaya pengguna telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pada masa sama katanya, siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 16, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar jangan terpedaya dan tidak sesekali klik pada sebarang pautan menerusi SMS sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan pada tahun lalu.

Katanya, ia bagi melindungi orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“MCMC menyeru orang awam, jika terlihat kenderaan mencurigakan yang
mempunyai penyambungan peranti komunikasi sebagaimana dinyatakan di atas untuk berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada MCMC atau PDRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button