Politik

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH lancar manifesto rangkumi 5 agenda perkasa ekonomi

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu meliputi lima agenda sekiranya dipilih sebagai calon di kawasan tersebut.

Menurut Sock Tao, lima tawaran tersebut merangkumi aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Jelasnya, manifesto yang bertemakan ‘Harapan untuk Kuala Kubu Baharu’ itu memberi fokus dalam mencipta peluang pekerjaan buat penduduk KKB khususnya golongan belia.

“Manifesto ini adalah hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat dan ini merupakan hasil kajian saya dan pasukan kempen. Sudah tentu pasukan kami optimis untuk menjayakan manifesto ini.

“Manifesto ini memberi tumpuan kepada penduduk setempat dan golongan belia amat dekat di hati saya kerana ingin memberi peluang kepada golongan muda di sini untuk mencapai impian mereka mencari pekerjaan, membina keluarga di sini. Jadi warga KKB boleh terus duduk di sini dan bekerja di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali di sini malam semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mengulas mengenai aspek ekonomi, Sock Tao komited untuk meningkatkan aktiviti ekonomi khususnya bagi sektor pembangunan industri di Hulu Selangor, pelancongan tempatan serta keusahawanan.

Selain itu, bagi aspek kemudahan pula, beliau juga bertekad untuk menambah baik sistem pengangkutan dan kemudahan awam serta meningkatkan kelajuan internet.

Pembangunan mampan serta pemeliharaan alam sekitar juga menjadi salah satu aspek dalam manifestonya bagi alam sekitar dan rekreasi.

Sementara itu, beliau juga bertekad untuk
melancarkan inisiatif-inisiatif untuk mengangkat warisan dan budaya di kawasan Kuala Kubu Baharu.

Show More

Related Articles

Back to top button