Berita Semasa

KKDW peruntuk RM46.6 juta bagi projek pembangunan infrastruktur dan pembiayaan perniagaan di Selangor

BANTING – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan perniagaan kepada rakyat Selangor tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada tahun 2024 aktiviti keusahawanan MARA seperti Program Pensijilan Usahawan (BEST) dan Program Pendigitalan Perniagaan (DIGITALBIZ), MARA Selangor memperuntukan sebanyak RM816,000 kepada 383 usahawan.

Bagi Pembiayaan Usahawan, MARA menyediakan sebanyak RM39,055,000 kepada 390 usahawan yang layak manakala RM2,999,335 untuk membaik pulih premis perniagaan di Selangor.

“Bagi peruntukan di bawah JAKOA pada tahun 2024, sebanyak 22 Kampung Orang Asli (10 Daerah Kuala Langat dan 3 Daerah Klang) dengan jumlah penduduk seramai 6,396 orang yang majoritinya suku kaum Mah Meri menerima RM977,000 bagi 25 projek pembangunan Kampung Orang Asli dan RM1,370,000 untuk program Pembiayaan Perniagaan”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek As Solihin, Kachong Darat Banting, Selangor di sini hari ini.

Turut disampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM 13,000 kepada 60 orang anak yatim dan 70 orang pelajar Tahfiz daripada kariah Masjid Jamek As-Solihin Kachong, Darat Banting, Selangor.

Selain itu, lebih 2,000 komuniti setempat diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan, Selangor anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, KKDW melalui KEMAS negeri Selangor memperuntukkan RM669,500 untuk pembangunan komuniti.

Ia meliputi program Hari Kebesaran Islam, Klinik Audit Solat, Street Dakwah, Kampung Mandiri, Jom Masuk Kampung, Kem Eksplorasi Belia, Kembara Merdeka, Sahabat Komuniti Desa, Sukarelawan Prihatin, Projek Rakan Kebun, Pakej Latihan Keusahawanan, serta Promosi dan Pemasaran.

“Sebanyak RM796,000 lagi diperuntukkan untuk pendidikan kemahiran meliputi program Sijil Kemahiran Malaysia-Penilaian Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT), Quick Win, Program Promosi Kemahiran, Kursus Kemahiran Jangka Pendek Wins dan Perolehan Peralatan,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, di Selangor, FELCRA Berhad telah membangunkan ladang seluas 2,450 hektar di Selangor dengan dua jenis tanaman iaitu kelapa sawit dan getah.

Sebanyak 22 projek di Selangor yang dikawal selia oleh FELCRA Berhad ini telah memberi manfaat kepada hampir 2,600 orang peserta di dua kawasan iaitu Batu 8
Sejangkang dan Lembah Bernam.

Untuk rekod, sehingga Disember 2023, FELCRA Berhad telah berjaya menyalurkan bayaran agihan keuntungan tahunan melebihi RM4.6 juta kepada 1,951 peserta.

Show More

Related Articles

Back to top button