Pematuhan syariah penambah nilai, bukan halangan dalam perniagaan – Dr Zulkifli
KUALA LUMPUR – Pemikiran terhadap pematuhan syariah menjadi penghalang kepada kemajuan perniagaan perlu diubah kerana realitinya, ia merupakan satu penambah nilai yang mampu memperkukuh daya saing jenama di peringkat global.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pematuhan syariah dalam perniagaan perlu dilihat secara positif kerana ia mampu memberikan kelebihan yang tidak hanya terhad kepada umat Islam, malah terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.
“Kita lihat sebagai contoh, sesuatu perniagaan yang mempunyai sijil halal berupaya mendapat akses kepada lebih ramai pelanggan dan pengguna. Ini merupakan satu nilai tambah yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam National CEO Forum 2025 (NCF2025) yang berlangsung di Hotel Seri Pacific di sini baru-baru ini.
Forum anjuran Muslim Insiders Chamber of Commerce bersama KNKV Group itu menghimpunkan lebih 200 pemain industri dari dalam dan luar negara merangkumi pelbagai sektor perniagaan.
Baca juga : National CEO Symposium 2025 persiapkan CEO, pembuat keputusan hadapi cabaran ekonomi
Tambah beliau, terdapat sektor seperti kewangan Islam yang telah pun mencapai 100 peratus pematuhan syariah, namun masih ada ruang dalam sektor lain yang boleh diperkasa lagi menerusi bimbingan berterusan.
Dalam pada itu, forum yang turut menampilkan empat orang panelis yang membuka ruang perbincangan berkenaan hala tuju perniagaan berlandaskan prinsip Islam, strategi perluasan pasaran serta cabaran global masa kini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. Adj. Adam Richman berkata, forum berprestij ini memberi peluang kepada para peserta memperkukuh strategi dan fokus jenama masing-masing agar mampu mendominasi pasaran.
Katanya, berdasarkan kajian Interbrand 2024, jenama-jenama antarabangsa telah kehilangan nilai belum direalisasi sebanyak USD200 bilion (RM947 bilion) dalam tempoh dua tahun akibat strategi jangka pendek dan kurang penekanan terhadap pembangunan jenama secara berterusan.
“Pemilik jenama tempatan selama ini ‘stuck’ dengan gaya lama dan kami datang untuk bantu mereka ini untuk melalui proses pemodenan teknologi yang semakin berkembang pesat seperti AI dan sebagainya,” katanya.
Forum tersebut turut disokong oleh CTOS Data System sebagai Rakan Semakan, SIRIM QAS International (Rakan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (Rakan Strategik), serta firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (Rakan Guaman Rasmi).
KNKV Group dalam pada itu menyatakan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik kepada jenama-jenama tempatan yang mahu melonjakkan kandungan kreatif mereka ke peringkat lebih tinggi melalui pelaksanaan strategi eksklusif yang disesuaikan.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan strategi KNKV Group boleh diperoleh di laman rasmi mereka, www.knkvgroup.com.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








