Kediaman Ngeh Koo Ham terbakar
MANJUNG – Kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar dekat sini, mengalami kebakaran pada wal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 pagi itu, difahamkan hanya garaj bagi meletakkan kenderaan terjejas akibat kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd Zaki Mokhtarmin berkata, ketika kejadian, wakil rakyat DAP itu dan isteri berada di rumah berkenaan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, kebakaran telah mengakibatkan sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.
“Bomba menerima panggilan pada pukul 3.05 pagi dan menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.
“Anggota kemudiannya melakukan pemadaman api menggunakan air dan ‘foam’, kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi,” katanya.
Tambahnya, operasi pemaaman kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.44 pagi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak telah membuat laporan mengenai perkara itu di Balai Polis Ayer Tawar dan akan mengadakan satu sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Ayer Tawar, tengah hari ini.