JENAYAH & MAHKAMAH

Nenek, cucu rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Bintulu

BINTULU – Seorang wanita warga emas dan cucunya maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya sebuah blok rumah pekerja di kawasan Shin Yang Sdn Bhd, Jalan Sungai Nyigu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 1.01 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Taun Nyaring, 61, dan Melbourne Jeasy, 15, ditemukan rentung di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.01 pagi sebelum 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi, kira-kira enam kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada pukul 1.10 pagi, kebakaran didapati melibatkan sebuah blok rumah pekerja dua tingkat yang mempunyai 31 pintu dan terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, struktur bangunan jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan 3,000 kaki persegi itu musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan.

Kebakaran terbabit turut memusnahkan tiga buah motosikal sepenuhnya, manakala sebuah lagi rosak kira-kira 40 peratus.

“Maklumat awal memaklumkan terdapat mangsa dipercayai terperangkap semasa kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air dari sungai berhampiran yang disalurkan ke tangki jentera bomba.

Katanya, api berjaya dikawal pada pukul 1.28 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

“Dua mangsa masing-masing seorang warga emas dan seorang lelaki remaja yang merupakan nenek dan cucunya ditemukan rentung pada pukul 4.20 pagi dan mayat keduanya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button