Malaysia tuan rumah Kejohanan Dunia MLBB M6 tahun depan
MANILA – Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 pada tahun depan.
Penganjuran itu diumumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim ketika mengakhiri ucapan beliau di Final Kejohanan Dunia MLBB M5 2023 di Manila, Filipina, semalam.
“Dalam kita berkumpul di sini untuk menyambut final M5, saya teruja untuk mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 pada 2024.
“Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah untuk kejohanan ini, susulan kejayaan menjadi tuan rumah M1 pada 2019,” kata Adam dalam ucapannya.
Beliau turut mengalu-alukan semua peminat e-sukan dunia untuk datang ke Malaysia bagi turut sama memeriahkan penganjuran kejohanan tersebut.
“M6 akan menjadi peristiwa diingati di dalam negara dan kami mengalu-alukan pemain, peminat dan penggemar e-sukan dari seluruh dunia untuk mengalami layanan baik tiada tandingan yang diberikan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sejumlah 16 pasukan bertanding dalam Kejohanan Dunia M5 yang berlangsung di Manila dari 2 Dis yang berakhir semalam.
Wakil Malaysia, Team SMG dan Homebois bagaimanapun, gagal melepasi peringkat kumpulan.