LUAR NEGARA

16 maut kebakaran rumah penjagaan warga emas di Chile

SANTIAGO – Seramai 16 penghuni maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah rumah penjagaan warga emas terbakar di Pitrufquen, wilayah La Araucania, selatan Chile, malam Jumaat lalu.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan di rumah penjagaan dikenali sebagai El Eden di kawasan Villa Comuy, sebelum berjaya dipadamkan pada awal pagi Sabtu.

Menurut agensi berita tempatan, ketika kejadian, seramai 26 penghuni berada di premis berkenaan dan pasukan bomba hanya berjaya menyelamatkan 10 daripadanya.

Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan, manakala 16 mayat ditemukan di lokasi kejadian.

Jurucakap kerajaan wilayah, Francisco Ljubetic berkata, api dipercayai merebak dengan pantas dari bahagian tengah bangunan, menyebabkan penghuni sukar diselamatkan.

Gambar dan rakaman yang dikongsi media tempatan menunjukkan api marak memenuhi bangunan berkenaan dalam kegelapan malam, dengan beberapa jentera bomba dikerahkan bagi mengawal kebakaran.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran, selain meneliti keadaan operasi dan status pematuhan rumah penjagaan berkenaan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Siasatan turut merangkumi rekod pemeriksaan kesihatan premis serta bagaimana aduan berkaitan kemungkinan penderaan warga emas yang pernah dibuat sebelum ini dikendalikan pihak berkuasa.

Datuk Bandar Pitrufquen, Jacqueline Romero turut mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari susulan tragedi itu.

Pihak berkuasa berkata identiti mangsa belum didedahkan sepenuhnya kepada umum sementara proses memaklumkan kepada keluarga masing-masing dijalankan.

Tragedi itu mengundang perhatian terhadap tahap keselamatan dan pemantauan rumah penjagaan warga emas di Chile, selepas satu lagi kebakaran di sebuah rumah penjagaan di Chiguayante pada 2018 mengorbankan 10 wanita warga emas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button