POLITIK

PRN Melaka: Calon PH Paya Rumput perkenal slip pengundi bersaiz poket, mudahkan semakan lokasi mengundi

PAYA RUMPUT – Tidak mahu pengundi tercari-cari lokasi pusat mengundi dan saluran masing-masing pada hari pengundian, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin mengambil inisiatif menyediakan slip semakan pengundi bersaiz poket.

Azman berkata, langkah itu diperkenalkan selepas mendapati masih ramai pengundi tidak mengetahui atau terlupa lokasi pusat mengundi serta saluran yang perlu dituju.

Menurutnya, penggunaan peranti khas membolehkan jentera kempen menyemak maklumat pengundi menerusi nombor kad pengenalan sebelum mencetak slip kecil untuk disimpan dan dibawa ketika mengundi.

“Bila jentera kita pergi ke lapangan, ramai pengundi bertanya mereka mengundi di mana, jadi bila kita pergi, kita boleh masukkan nombor kad pengenalan, terus kita bagi dia dan dia tahu tempat mengundi, sekolah mana, saluran berapa.

“Dia boleh simpan slip itu kecil dalam poket. Tak payah simpan kertas A4 yang besar. Itu yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas program kempen PH di Paya Rumput, di sini, hari ini.

Baca juga : Azman beri perhatian kepada keperluan penduduk B40 di Paya Rumput

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Azman yang lebih dikenali sebagai Tok Man berkata, sistem berkenaan menggunakan data daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibekalkan kepada calon.

Katanya, kaedah semakan itu bukan perkara baharu kerana sistem berkenaan sememangnya menggunakan data SPR, namun pihaknya melakukan penambahbaikan dari segi penyampaian maklumat kepada pengundi menerusi slip bercetak bersaiz kecil.

“Data memang data SPR yang diberi kepada kita. Itu sistem daftar pemilih yang kita guna daripada SPR juga.

“Sistem itu ada, cuma kita gunakan kaedah yang menggunakan slip yang kecil, itu saja,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, beliau berkata, perjalanan kempen di Paya Rumput setakat ini berlangsung dengan baik, teratur dan aman, selain berharap keadaan itu kekal sehingga hari pengundian.

Katanya, beliau akan terus berusaha mengunjungi sebanyak mungkin kawasan di DUN berkenaan bagi menyantuni penduduk dan mendapatkan sokongan mereka.

“Saya cuba habiskan semua kawasan untuk saya santuni rakyat Paya Rumput, insya-Allah.

“Saya nak mohon mereka beri kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil mereka di Paya Rumput ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button