Wan Azizah yakin pengalaman Azman mampu beri khidmat terbaik kepada penduduk Paya Rumput
PAYA RUMPUT – Pengalaman Datuk Azman Abidin dalam bidang pengurusan dan pentadbiran menjadi antara kelebihan yang diketengahkan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menyokong pencalonannya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau sudah lama mengenali Azman dan pernah bekerja bersama calon Pakatan Harapan (PH) itu, sekali gus mengetahui keupayaannya mengendalikan urusan pentadbiran.
Katanya, Azman juga pernah berkhidmat bersama Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, yang memberikannya pengalaman dalam aspek pengurusan.
“Saya dah bekerja dengan Datuk Azman ini dah lama DAN dia dulu dengan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, jadi dia tahu cara-cara untuk mengendalikan pengurusan, insya-Allah.
“Jadi berpengalaman. Kita tawarkan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya kita dapatkan seorang yang berpengalaman, yang boleh membuat kerja dengan baik Paya Rumput dan juga Melaka,” katanya selepas menghadiri program kempen PH di Paya Rumput, di sini, hari ini.
Baca juga : PRN Melaka: Calon PH DUN Paya Rumput perkenal slip pengundi bersaiz poket, mudahkan semakan lokasi mengundi
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kehadirannya ke kawasan berkenaan bertujuan memberikan sokongan serta semangat kepada Azman yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, wakil rakyat di peringkat negeri perlu mengutamakan penyelesaian masalah setempat memandangkan tanggungjawab seorang ADUN berbeza daripada Ahli Parlimen.
Katanya, meskipun terdapat pelbagai isu lain yang dibangkitkan, keutamaan perlu diberikan kepada perkara yang boleh ditangani menerusi bidang kuasa di peringkat DUN.
“Kalau masalah tempatan itu yang kita nak tumpukan supaya kita dapat memberikan sebaiknya. Sebab ADUN lain lagi pada Parlimen.
“Kita melihat banyak lagi isu-isu lain tetapi yang penting fokus apa yang kita boleh selesaikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














