[VIDEO] Anthony Loke letak jawatan sebaik Najib tiba di rumah
PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik saja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediaman beliau untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
“Saya difahamkan pembayaran RM50 juta itu telah pun diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi.
“Sebaik sahaja Najib tiba dan menjejakkan kaki di rumah, berkuat kuasalah (peletakan jawatan saya). Kalau malam ini jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa.
Tegasnya, peletakan jawatan itu mencerminkan pendirian DAP terhadap keputusan berkenaan.
“Peletakan jawatan ini mencerminkan pendirian parti saya, DAP, terhadap keputusan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib.
“DAP menghormati kuasa dan prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun demikian, kami berpandangan bahawa pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang terbabit dalam skandal yang membawa kesan begitu besar kepada ekonomi dan imej negara, berpotensi membawa satu mesej tidak wajar kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Tambah Loke, ketika surat peletakan jawatan itu dikemukakan, Perdana Menteri meminta beliau meneruskan tugas sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah.
Bagaimanapun katanya, beliau mendapat pengesahan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Najib belum dibenarkan pulang ke kediamannya kerana dibawa ke klinik pergigian bagi menjalani pemeriksaan yang sudah dijadualkan hari ini.
Loke berkata, beliau menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi dan mempengerusi mesyuarat pasca-Kabinet bagi menyelesaikan urusan pentadbiran serta memastikan kelancaran proses peralihan tugas.
Dalam pada itu, Loke turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan mandat diberikan sepanjang 47 bulan beliau menerajui kementerian itu sejak Disember 2022.
Katanya, segala perancangan dan inisiatif kementerian akan diteruskan seperti biasa, termasuk pelaksanaan My50, operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) pada Februari tahun depan.
“Saya tetap Ahli Parlimen. Jadi, saya akan tetap memberikan sokongan kepada pegawai dan Kementerian Pengangkutan. Apa sahaja yang boleh saya bantu dan sumbangkan tenaga, saya akan kekal membuat demikian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













