POLITIK

SPR bermesyuarat tentukan tarikh PRN Sarawak ke-13 hari ini?

KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 selepas mengadakan mesyuarat khas di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu berlangsung di sebuah hotel di bandar raya ini sebelum disusuli sidang media bagi memaklumkan keputusan berhubung perjalanan pilihan raya berkenaan.

BH Online melaporkan, antara perkara yang bakal diumumkan termasuk tarikh pengeluaran writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian, selain daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.

PRN kali ini diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Oktober lalu, berkuat kuasa 26 Oktober.

Mengikut Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

DUN Sarawak yang mempunyai 82 kerusi itu sebelum ini dijadual menamatkan mandat pada Februari 2027.

Pada PRN ke-12, 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari mencatat kemenangan besar apabila menguasai 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi dalam pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, landskap politik negeri itu berubah selepas PSB dibubarkan pada 2024, dengan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu komponen GPS.

Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, pula meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

GPS kini terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button