Kanak-kanak OKU maut dalam kebakaran 30 buah rumah di Tawau
TAWAU – Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru, di sini, pagi tadi.
Mayat Jackson Zack, 12, ditemukan pasukan bomba di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi sebelum jentera tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Katanya, kebakaran pada awalnya membabitkan enam rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal sebelum api merebak pantas hingga menyebabkan 24 rumah lagi turut musnah.
“Operasi pemadaman dimulakan sejurus pasukan tiba di lokasi dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 8 pagi.
“Sebanyak 250 rumah berhampiran berjaya diselamatkan, manakala sebuah Perodua Kancil turut musnah dalam kebakaran itu,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Jemishin berkata, anggaran keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar ialah 7,124.84 meter persegi dengan semua 30 rumah terbabit musnah sepenuhnya.
Katanya, operasi pemadaman membabitkan 42 anggota BBP Tawau dengan bantuan agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, Angkatan Tentera Malaysia, KKM, Jabatan Air Negeri Sabah serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.
“Operasi berkenaan ditamatkan pada jam 10.55 pagi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














