Lelaki maut ditetak tiga individu di Teluk Intan
IPOH – Seorang lelaki berusia 48 tahun maut dipercayai ditetak menggunakan parang oleh tiga lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Teluk Intan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asistan Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 3.53 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa diserang tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk pergerakan individu atau kenderaan mencurigakan di sekitar lokasi, supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerusi talian 05-6299222 atau dengan hadir ke balai polis berhampiran.
Chua turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














