HASiL guna AI kesan risiko cukai, chatbot bantu pembayar cukai 24 jam
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mempergiat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran percukaian negara, termasuk mengenal pasti lebih 7,700 kes berpotensi berisiko cukai menerusi analisis data e-Invois.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, penggunaan teknologi itu membolehkan pengesanan risiko ketidakpatuhan dilaksanakan secara lebih proaktif, bersasar dan berasaskan data.

Beliau berkata, tumpuan inovasi HASiL tahun ini ialah pembangunan dan penerapan AI bagi meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pematuhan serta menambah baik perkhidmatan kepada pembayar cukai.
“HASiL bukan sekadar mahu mengikuti perkembangan teknologi, sebaliknya mahu berada di hadapan dengan membangunkan penyelesaian AI yang dapat meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pematuhan dan menambah baik perkhidmatan kepada pembayar cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti (HII) HASiL 2026 di Menara HASiL di sini semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Antara aplikasi yang dibangunkan ialah HAFY – TaxAssist iaitu chatbot berasaskan AI perbualan yang membolehkan pembayar cukai mendapatkan maklumat dan panduan percukaian sepanjang masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
HASiL turut membangunkan Instrument Recognition and Intelligence Model (IRIM) yang berupaya mengenal pasti jenis dokumen atau instrumen serta menentukan kadar duti setem bersesuaian berdasarkan kandungan dokumen berkenaan.
Selain itu, model Behavioural Analytics digunakan untuk menganalisis corak dan tingkah laku kumpulan pembayar cukai bagi membantu HASiL mengenal pasti kumpulan berisiko tinggi serta melaksanakan strategi pemantauan dan pematuhan secara lebih bersasar.
Sementara itu, Next-Best Action Predictive Model membantu menentukan tindakan kutipan cukai paling sesuai berdasarkan profil kewangan, rekod pematuhan dan corak tingkah laku pembayar cukai yang mempunyai tunggakan.
Bagi pengesanan transaksi luar biasa pula, MyInvois Advanced Analytics Anomaly Detection Model memanfaatkan data e-Invois untuk mengenal pasti kemungkinan ketidakpatuhan percukaian.
Menerusi model itu, lebih 7,700 kes berpotensi dikenal pasti mempunyai risiko percukaian yang memerlukan intervensi audit dan siasatan.
Abu Tariq berkata, penerapan teknologi berkenaan mencerminkan anjakan daripada pendekatan pematuhan konvensional kepada sistem pentadbiran yang lebih cekap dan berasaskan analisis data.
Beliau menegaskan AI bukan sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi komponen strategik dalam membantu HASiL membuat keputusan, mengurus risiko dan mentransformasikan pentadbiran percukaian negara.
Usaha itu diharap dapat memperkukuh keupayaan HASiL dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian negara, di samping menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembayar cukai.
Dalam pada itu, sempena Sambutan HII HASiL 2026 juga, komitmen terhadap budaya inovasi turut dizahirkan menerusi Anugerah Inovasi CEO HASiL 2026 yang memberi fokus kepada penghasilan Video Kreatif AI dan menerima sebanyak 46 penyertaan.
Turut dilancarkan ialah Dokumen Integriti HASiL sebagai komitmen berterusan untuk memperkukuh tatakelola dan tadbir urus organisasi, selaras dengan Strategi Antirasuah LHDNM (SeAL) 2026–2028.
Sebagai usaha memperkukuh tadbir urus percukaian korporat, HASiL turut menyampaikan pengiktirafan Tax Corporate Governance (TCG) kepada 13 pembayar cukai yang telah memenuhi keperluan dan kriteria program tersebut.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen pembayar cukai berkenaan dalam memperkukuh kawalan dalaman, mengurus risiko percukaian secara sistematik serta membudayakan pematuhan cukai secara sukarela.
Selain itu, Sambutan HII HASiL 2026 turut mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjuran Kaunter Perkhidmatan Agensi Luar dengan penglibatan 48 agensi kerajaan dan swasta pada 2 hingga 3 November 2026.
Kemudahan ini membolehkan warga HASiL mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan secara langsung daripada pelbagai agensi di satu lokasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














