BERITA SEMASA

Malaysia, Finland teroka kerjasama TVET peringkat tinggi

PUTRAJAYA – Malaysia dan Finland meneroka peluang memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan serta pembangunan modal insan.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara dan Duta Pendidikan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Eksport Perkhidmatan serta Jenama Pengguna, Kementerian Luar Negeri Finland, Outi Hakanen, di sini, semalam.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kurikulum institusi pendidikan tinggi (IPT) negara, khususnya dalam bidang bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kerjasama ini juga merangkumi penerokaan penawaran pensijilan mikrokredensial bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan kualiti dan daya saing graduan.

“Kedua-dua negara turut melihat potensi memperluas program mobiliti pelajar dan ahli akademik, penyelidikan bersama serta pemindahan kepakaran antara institusi pendidikan tinggi,” menurut KPT dalam satu kenyataan.

KPT berkata, hubungan strategik berkenaan penting dalam membuka peluang baharu untuk meningkatkan reputasi dan keterlihatan IPT Malaysia di peringkat antarabangsa.

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan tinggi global yang berdaya saing.

KPT berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan menerusi jaringan institusi yang berimpak tinggi dan mampan, sekali gus memperluas akses kepada ilmu, teknologi serta inovasi antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button