BERITA SEMASA

Dr. Zambry ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8 di Mesir

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun atau D-8 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Kaherah, Mesir bermula hari ini hingga 19 November ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Dr. Zambry dijangka akan memberi kenyataan menteri di Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-21 yang akan diadakan hari ini.

“Seterusnya, pada 19 November 2024, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 dan juga Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan,” kata KPT.

Selain itu, Dr. Zambry dijangka akan menyampaikan polisi dan inisiatif negara dalam meningkatkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan belia Malaysia bagi memacu dan meningkatkan ekonomi negara.

Menurut KPT, beliau bakal berkongsi pandangan Malaysia dalam mengukuhkan lagi peranan D-8 dalam meningkatkan sosio-ekonomi negara-negara anggota, serta cadangan kerjasama yang boleh dijalinkan dan ditingkatkan dalam kalangan negara D-8 di pelbagai peringkat.

“Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga akan dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan D-8 termasuk Presiden Mesir, Presiden Indonesia, Presiden Iran, Presiden Turki dan Perdana Menteri Pakistan.

“Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala juga akan diadakan bersama dengan wakil negara-negara Anggota D-8 yang lain di sela-sela sidang kemuncak tersebut,” katanya.

Sebagai rekod, tema sidang kemuncak kali ini ialah ‘Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy’ D-8 ditubuhkan di Istanbul, Turki pada 15 Jun 1997.

Ia merupakan sebuah kumpulan negara-negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button