BERITA SEMASAPOLITIK

Ketua AMK Selangor bidas dakwaan SUA KKDW, minta rujuk hansard

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Iman Haziq membidas dakwaan Setiausaha Akhbar (SUA) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Amel Fadzmel berhubung isu komitmen perbelanjaan berlebihan kementerian itu sebagai tidak tepat dan tersasar daripada fakta.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Hansard Dewan Rakyat dan laporan media, KKDW didapati berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023, bukannya disebabkan tunggakan daripada tahun 2020 hingga 2022 seperti yang didakwa.

Menurutnya, jawapan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu menjelaskan KKDW telah membelanjakan RM6.11 bilion berbanding peruntukan asal RM3.98 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Katanya, keadaan itu menunjukkan lebihan perbelanjaan kira-kira RM2.1 bilion dalam tempoh tiga tahun berkenaan.

“Walaupun peruntukan 2025 sudah dinaikkan kepada RM2.27 bilion, ia masih tidak mencukupi dengan tunggakan bayaran sebanyak RM1.05 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Iman turut menjelaskan bukti tambahan peruntukan sebanyak RM500 juta daripada penjimatan kementerian lain telah direkodkan dalam Hansard Dewan Rakyat pada 29 Oktober.

“Ketika menjelaskan perkara itu, Amir Hamzah berkata: ‘Kita pindahkan daripada kementerian lain untuk menampung SKB itu’.

“Justeru, SUA KKDW sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum meminta bukti berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Mengulas dakwaan semua komitmen perbelanjaan dibuat dengan kelulusan MOF dan Kementerian Ekonomi, Iman berkata, kelulusan sesuatu projek tidak bermakna kementerian mempunyai kebebasan untuk berbelanja melebihi peruntukan diluluskan.

Beliau berkata, Arahan Perbendaharaan menetapkan ketua setiausaha kementerian bertanggungjawab memastikan perbelanjaan tidak melebihi peruntukan, selain mewajibkan pembayaran bil dibuat dengan segera.

Sehubungan itu, beliau memetik penegasan Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat bahawa dakwaan MOF membatalkan projek adalah tidak benar.

Dalam pada itu, Iman berkata, pengurangan peruntukan bagi beberapa program KKDW termasuk pembinaan dan pembaikan rumah golongan miskin serta Orang Asli adalah keputusan yang dibuat oleh kementerian itu sendiri bagi menampung perbelanjaan jalan luar bandar.

Beliau mendakwa, pada 2023, antara peruntukan yang dikurangkan bagi tujuan itu melibatkan program KEMAS, JAKOA, MARA serta bekalan elektrik dan air luar bandar.

“Yang pindahkan duit itu, KKDW sendiri. Itulah akibat apabila KKDW berbelanja lebih daripada bajet, bukan arahan MOF,” katanya.

Mengulas hasrat SUA KKDW membawa isu berkenaan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Iman menyarankan beliau meneliti Hansard Dewan Rakyat dan laporan media terlebih dahulu supaya fakta sebenar dapat difahami.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya menyokong usaha membangunkan jalan luar bandar serta memastikan kontraktor dibayar mengikut kerja yang telah disiapkan.

“Setiap perkara ada had, termasuk perbelanjaan. Sebab itu kita ada bajet yang Perdana Menteri bentangkan setiap tahun.

“Janganlah tiba-tiba menggunakan kesalahan sendiri untuk dijadikan isu kempen pilihan raya sambil menolak kebenaran dan fakta,” katanya.

Beliau berharap KKDW dan MOF dapat mengadakan perbincangan secara baik bagi menyelesaikan isu berkenaan demi kepentingan semua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button