Poo Long Suan mahu bawa pengalaman khidmat di Kesidang ke DUN Duyong
DUYONG – Pengalaman berkhidmat sebagai ahli majlis serta pencapaian sepanjang menjalankan tanggungjawab di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menjadi antara bekalan calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan untuk menawarkan khidmat kepada penduduk DUN Duyong.
Beliau berkata, pengalaman tersebut termasuk menerima pengiktirafan sebagai Ahli Majlis Terbaik 2025 ketika berkhidmat di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) .
“Saya bersyukur kerana berjaya dicalonkan dan mendapat nombor satu pada hari penamaan calon ini.
“Saya juga berterima kasih kepada pimpinan parti kerana memberi peluang kepada saya untuk bertanding kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Kompleks Japerun Duyong, hari ini.
Menurutnya, pengalaman yang dikumpulkan sepanjang berkhidmat di kawasan Kesidang akan dimanfaatkan sekiranya diberi mandat untuk mewakili penduduk Duyong.
“Saya telah menimba pengalaman ketika berkhidmat di bawah DUN Kesidang dan kali ini bersedia membawa pengalaman serta hasil kerja yang berjaya dilaksanakan di sana ke DUN Duyong,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran di kawasan berkenaan, beliau mengakui penyandang sebelum ini mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, namun berpendapat masih terdapat beberapa perkara yang boleh ditambah baik demi kepentingan penduduk.
“Tidak dinafikan beliau (Noor Helmy) sebelum ini pun mempunyai perkhidmatan yang bagus, tetapi bagi saya masih ada ruang untuk diperbaiki dalam kehidupan masyarakat di kawasan ini.
“Jadi, saya bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat di sini,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap pendekatan pentadbiran PH yang disifatkannya lebih sistematik serta menitikberatkan aspek integriti.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Duyong dapat memberikan sokongan terhadap pencalonannya bagi membolehkan beliau membawa pengalaman dan pendekatan perkhidmatan yang dimiliki kepada masyarakat setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







