BERITA SEMASA

Lesen stesen minyak di Nibong Tebal berisiko digantung, dibatalkan jika manipulasi subsidi terbukti

KUALA LUMPUR – Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang boleh digantung atau dibatalkan sekiranya siasatan mengesahkan berlaku penyalahgunaan subsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

Memetik laporan MalaysiaGazette, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan tegas boleh diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan sekiranya pemilik stesen didapati melakukan kesalahan, termasuk memanipulasi rekod berkaitan lesen berkenaan.

“Siasatan kes ini kini dikendalikan pelbagai pihak dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetuai siasatan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu.

“Sekiranya didapati bersalah, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen CSA pemilik stesen tersebut di bawah Akta Kawalan Bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bersempena pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan berkait dengan aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan kelayakan individu tertentu untuk mendapatkan petrol bersubsidi menerusi BUDI95, seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” tambahnya.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan subsidi, memandangkan pelaksanaan BUDI95 melibatkan peruntukan kewangan yang besar serta bertujuan meringankan beban rakyat.

Armizan turut menjelaskan bahawa pengusaha stesen minyak perlu memiliki lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan lesen CSA bagi membolehkan operasi berkaitan barang kawalan berjadual dijalankan.

Sebelum ini, stesen minyak terbabit dikenakan sekatan daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi menerusi Budi Madani susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan subsidi.

MOF sebelum ini memaklumkan tindakan berkenaan diambil selepas menerima aduan daripada beberapa penerima BUDI95 yang mendakwa maklumat MyKad mereka digunakan bagi pembelian petrol bersubsidi tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button