MPPN sokong usaha KPDN perkukuh larangan pembelian RON95 oleh kenderaan asing
KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong penuh usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi memperkukuh larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing di stesen minyak seluruh negara.
Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiron berkata, langkah tersebut amat penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia, selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.
Menurutnya, penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A ketika ini hanya membolehkan tindakan diambil terhadap pihak penjual, khususnya pengusaha stesen minyak menunjukkan keperluan kepada pengukuhan undang-undang yang lebih menyeluruh.
“Cadangan pengenalan peruntukan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan larangan terhadap pembelian, selain penjualan, merupakan langkah wajar bagi mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan serta mengekang ketirisan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan berpotensi membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak serta meningkatkan beban fiskal negara.
Katanya, situasi itu akhirnya boleh menjejaskan kepentingan pengguna tempatan.
“Langkah penguatkuasaan ini juga dilihat sebagai satu pendekatan strategik bagi memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan, selain memperkukuh tadbir urus subsidi negara.
“Sebagai badan penasihat utama kerajaan dalam hal ehwal kepenggunaan, MPPN menegaskan komitmen untuk terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh pengurusan subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu beliau juga
menggesa semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








