BERITA SEMASA

Ops Kesan: 1,016 premis diperiksa, 24 notis dikeluarkan

TAWAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah memeriksa sebanyak 1,016 premis perniagaan sejak Ops Kesan bermula pada 1 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, susulan pemeriksaan tersebut, sebanyak 24 notis telah dikeluarkan.

Beliau berkata, notis berkenaan dikeluarkan kepada peniaga berhubung pelarasan harga yang dibuat di premis terlibat, dan pemilik premis perlu memberikan maklum balas supaya pihak KPDN dapat meneliti sama ada pelarasan itu selari dan tidak bertentangan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Mereka semua diberi masa selama empat hari untuk menjawab notis berkenaan,” kata Armizan, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pulau Sebatik, dekat sini hari ini.

Armizan menambah, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga susulan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus sejak 1 Mac.

“KPDN akan terus melakukan pemeriksaan di premis perniagaan, dan pada masa yang sama, kementerian berharap orang awam akan turut menyalurkan aduan (supaya boleh disiasat).

“Kami juga berharap supaya golongan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga bagi mendapatkan keuntungan yang berlebihan, sekaligus merosakkan inisiatif kerajaan di mata rakyat,” kata Armizan lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button