KPDN rampas 790 jam tangan berjenama tiruan bernilai RM790,000
KUALA LUMPUR – Aktiviti menyimpan dan menjual jam tangan tiruan berskala besar di ibu negara berjaya dibongkar apabila Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 790 unit jam tangan pelbagai jenama bernilai RM790,600, dalam satu serbuan di sebuah premis dua tingkat pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan yang dilaksanakan hampir sebulan dan mendapati premis berkenaan digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan penjualan jam tangan tiruan secara tertutup.
“Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga pengurus premis, dipercayai bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan premis, stok barangan serta aktiviti penjualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, bahagian bawah premis digunakan sebagai bengkel pembaikan dan servis jam tangan, manakala tingkat atas dijadikan tempat penyimpanan dan penjualan jam tangan tiruan bagi mengaburi aktiviti sebenar.
Beliau berkata, premis terbabit dikawal rapi dengan pintu kaca berkunci hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh, serta dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV).
“Aktiviti penjualan dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Jam tangan tiruan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan,” katanya.
Dalam serbuan itu, pelbagai kotak, beg kertas berjenama dan barangan lain yang dipercayai digunakan untuk penyimpanan dan penjualan turut dirampas.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.
“KPDN tidak berkompromi dengan pihak terbabit aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan hak pemilik cap dagangan dan kepentingan pengguna,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan barangan tiruan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui aplikasi WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















