Majikan warga China maut dipukul pekerja Myanmar
BANGKOK – Pertikaian mengenai pembayaran gaji berakhir dengan tragedi apabila seorang majikan warga China maut, manakala seorang lagi lelaki senegaranya cedera parah dalam kejadian di kem pembinaan di Lat Krabang, pada Selasa malam.
Polis Thailand kini memburu empat pekerja Myanmar yang dipercayai terbabit dalam serangan itu dengan kesemua suspek dilaporkan terdiri daripada dua pasangan suami isteri.
Kejadian dipercayai bermula apabila kedua-dua lelaki warga China itu tiba di kem berkenaan untuk mengagihkan gaji kepada kira-kira 60 pekerja Myanmar.
Bagaimanapun, majikan terbabit dikatakan menegur empat pekerja berhubung mutu kerja yang tidak memuaskan.
Keadaan bertambah tegang apabila mereka menyatakan hasrat untuk berhenti kerja, namun majikan itu dilaporkan enggan membayar gaji kerana mereka tidak memberikan notis awal.
Menurut saksi, pertengkaran itu kemudian bertukar ganas apabila empat pekerja berkenaan didakwa menyerang kedua-dua lelaki tersebut menggunakan batang besi dan pisau sebelum melarikan diri.
Suspek turut dipercayai melarikan wang tunai untuk pembayaran gaji berjumlah antara 40,000 hingga 50,000 baht (kira-kira RM5,000 hingga RM6,300).
Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebatang besi dengan kesan darah serta sampul gaji yang dipercayai berkaitan dengan insiden berkenaan.
Polis dilaporkan sudah mengenal pasti seorang daripada suspek, namun kesemua empat pekerja itu masih diburu dalam laporan awal kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








