BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Empat tahun tidak berhubung, lelaki temukan ayah sudah tinggal rangka

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki untuk menziarah bertukar menjadi saat memilukan apabila menemukan rangka ayahnya yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak lebih empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, rangka dipercayai lelaki berusia 74 tahun itu ditemukan oleh anak lelakinya di sebuah rumah yang didiami mangsa bersendirian di Mutiara Magna, Kepong.

Menurut beliau, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh anak lelaki mangsa pada 5 September lalu selepas memecah masuk rumah berkenaan apabila panggilannya tidak disahut.

“Pengadu sampai di rumah berkenaan dan mendapati pintu dalam keadaan berkunci. Selepas memecah masuk, pengadu menemukan mayat ayahnya dalam keadaan rangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan mendapati mangsa tinggal berseorangan di rumah berkenaan selepas bercerai dengan isterinya.

Menurut keterangan pengadu, kali terakhir dia menghubungi ayahnya adalah pada 2020.

“Bedah siasat telah dilakukan namun tidak dapat menentukan punca kematian,” katanya.

Dalam mesej bergambar yang tular hari ini, seorang lelaki warga emas dikatakan ditemukan dalam keadaan rangka kerana kehilangannya tidak pernah disedari jiran-jiran.

Sebelum kehilangannya, mangsa yang dikatakan seorang guru Al-Quran itu pernah menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button