Parti Arab dijangka raih rekod 18 kerusi dalam pilihan raya Israel
RAMALLAH – Parti-parti Arab di Israel dijangka memenangi sehingga 18 kerusi di Parlimen Israel (Knesset), menurut tinjauan keluar pilihan raya, susulan peningkatan ketara jumlah keluar mengundi dalam kalangan warga Palestin di negara itu.
Al Jazeera melaporkan, tinjauan keluar bagi pilihan raya yang berlangsung pada Selasa menunjukkan parti utama pimpinan Arab, Joint List dan Ra’am, berpotensi memperoleh jumlah kerusi tertinggi dalam sejarah di Knesset yang mempunyai 120 kerusi.
Data awal turut menunjukkan kadar keluar mengundi dalam kalangan warga Palestin yang memegang kewarganegaraan Israel mencecah kira-kira 80 peratus, sekali gus mengatasi rekod pada 1999, menurut laporan Channel 12 Israel.
Sementara itu, tinjauan keluar yang dikemas kini menunjukkan blok pembangkang pimpinan parti Yashar, diketuai bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot, dan blok pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menerusi parti Likud masing-masing memperoleh 51 kerusi.
Ketua Ra’am, Mansour Abbas, berkata beliau berharap keputusan rasmi membolehkan blok anti-Netanyahu, termasuk partinya, memperoleh sekurang-kurangnya 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
“Berdasarkan angka yang kita ada sekarang, tiada kerajaan dapat dibentuk,” katanya kepada Channel 12 Israel.
Abbas berkata, kedua-dua blok utama telah menghubungi partinya sebelum dan selepas pilihan raya.
Ra’am kini mempunyai lima kerusi di Knesset dan pernah menyertai gabungan kerajaan Israel dari 2021 hingga 2022.
Bekas Duta Israel, Alon Pinkas berkata, pembentukan kerajaan mungkin menjadi sukar bagi parti-parti seperti Yashar yang sebelum ini berjanji tidak akan membentuk gabungan dengan parti Arab sepanjang kempen pilihan raya.
Menurutnya, parti-parti Arab tidak boleh terus diketepikan dan hanya didekati apabila undi mereka diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Beliau berkata parti-parti pimpinan Arab berkemungkinan mengemukakan tuntutan tertentu yang mungkin tidak mendapat sokongan kerajaan gabungan pimpinan parti Yahudi.
Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu dan sekutu berhaluan kanannya pada hari pengundian berusaha menggalakkan penyokong mereka keluar mengundi dengan memberi amaran mengenai peningkatan jumlah pengundi Arab.
Tindakan itu dikritik ahli politik Arab yang menyifatkannya sebagai berunsur perkauman dan boleh mencetuskan ketegangan.
Menurut saksi, beberapa kereta yang mengibarkan bendera parti Likud milik Netanyahu bergerak di sekitar Baitulmaqdis sambil memasang laungan azan dan menggesa penyokong keluar mengundi kerana “orang Arab sedang mengundi”.
Netanyahu turut memuat naik hantaran media sosial yang menonjolkan barisan panjang di pusat mengundi dalam komuniti Arab, termasuk gambar yang didakwanya menunjukkan pengundi Arab sedang menunggu giliran.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan penyokongnya keluar mengundi boleh membawa kepada pembentukan kerajaan yang melibatkan Mansour Abbas dan Ahmad Tibi, dua ahli politik Palestin di Knesset.
Secara keseluruhan, kadar keluar mengundi dalam pilihan raya itu turut mencatat rekod tertinggi sejak 1999, apabila sebanyak 77.7 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Israel.
Warga Palestin yang memegang kewarganegaraan Israel merangkumi kira-kira 21 peratus daripada keseluruhan 10 juta penduduk negara itu dan secara tradisinya mencatat kadar keluar mengundi lebih rendah berbanding warga Yahudi Israel.
Wartawan Al Jazeera, Nour Odeh, yang melaporkan dari Ramallah di Tebing Barat yang diduduki, menyifatkan pilihan raya itu sebagai detik penting bagi warga Palestin-Israel.
Beliau berkata peningkatan keluar mengundi turut melibatkan individu yang sebelum ini memboikot pilihan raya kerana tidak percaya penyertaan mereka mampu membawa perubahan atau mengatasi diskriminasi sistemik yang dihadapi.
Menurutnya, Knesset telah meluluskan lebih 100 undang-undang yang mendiskriminasi warga Palestin di Israel, selain mereka turut berdepan ketidaksamarataan dalam penerimaan dana kerajaan.
Keputusan rasmi pilihan raya akan menentukan sama ada mana-mana blok politik mampu memperoleh majoriti mudah 61 kerusi bagi membentuk kerajaan baharu Israel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








