Kurangkan cukai taksiran RM140 juta, pengarah unit agensi kerajaan direman kes rasuah RM30 juta
PUTRAJAYA – Seorang pengarah unit di sebuah agensi kerajaan direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai suapan mencecah RM30 juta berhubung pengurangan bayaran cukai taksiran.
Perintah tahanan reman sehingga 1 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber agensi penguatkuasaan itu, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan oleh sepasukan pegawai SPRM ketika bersembunyi di sebuah hotel di sekitar Lembah Klang, petang kelmarin.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sekitar RM30 juta daripada beberapa syarikat swasta sebagai balasan membantu mengurangkan jumlah bayaran cukai taksiran bernilai RM140 juta antara tahun 2025 hingga 2026.
Susulan penahanan tersebut, pihak berkuasa turut menyita beberapa dokumen transaksi kewangan dan fail permohonan pelarasan cukai berkaitan syarikat terbabit bagi penelitian forensik.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








