Malaysia, Netflix bincang perluas karya tempatan ke pasaran global
JAKARTA – Malaysia meneroka peluang kerjasama dengan Netflix dalam bidang penerbitan bersama, pembangunan bakat dan pascaproduksi bagi memperluas penembusan karya tempatan ke pasaran antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan ketika pertemuannya dengan Naib Presiden Hal Ehwal Global Netflix Asia Pasifik, Andrew Ure, pada Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) di Jakarta, hari ini.
Beliau berkata, perbincangan itu turut merangkumi pembangunan dokumentari serta kerjasama lebih rapat antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Netflix.
“Malaysia mempunyai asas yang baik untuk menarik penerbitan antarabangsa menerusi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI), termasuk rebat tunai 30 peratus bagi penerbitan yang layak,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Fahmi berkata, pada tahun ini, The Big Fix turut menjalani penggambaran di Pulau Pinang, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja dan ekosistem kreatif tempatan.
Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai potensi untuk memperluas pasaran karya tempatan, termasuk harta intelek yang berjaya menarik perhatian penonton di luar negara.
Beliau turut memberi contoh Upin & Ipin yang membuktikan keupayaan harta intelek tempatan merentas sempadan, manakala Kisah Bawah Tanah terbitan Animasia Studio kini turut menemui penonton menerusi Netflix.
“Kita ada bakat, kita ada cerita dan kita ada harta intelek yang kuat. Sekarang masanya untuk kita kongsi lebih banyak cerita Malaysia dengan dunia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








