Anggota perkhidmatan awam dilarang guna aplikasi Waze
PUTRAJAYA – Anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKNS).
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JKNS Bilangan 3 Tahun 2026 pada 20 Oktober lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurut surat arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menerusi surat bertarikh 20 Oktober 2026 itu, semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan persekutuan diarahkan memastikan keputusan berkenaan dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan.
Arahan itu menyatakan larangan berkenaan melibatkan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
“Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri selaku agensi penyelaras,” menurut kenyataan itu.
Surat berkenaan turut meminta kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan keputusan itu dipatuhi secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








