Pengumuman PM dijangka jadi hadiah buat penjawat awam – KSN
KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi bayangan bahawa pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri dalam masa terdekat berkemungkinan besar membawa manfaat kepada penjawat awam.
“Saya percaya rakyat akan gembira. Kalau ia melibatkan penjawat awam, pastinya mereka juga akan berasa senang hati. Insya-Allah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Kenyataan itu merujuk kepada hantaran Perdana Menteri di media sosial semalam, yang menyentuh mengenai satu bentuk penghargaan luar biasa buat rakyat negara ini.
Poster tersebut turut dikongsi oleh laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat dan penjawat awam.
Menurutnya, tiada maklumat lanjut boleh didedahkan ketika ini dan semua pihak dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi daripada pihak kerajaan.
“Saya bukan ahli silap mata. Tunggu sahajalah, kerana ini satu kejutan,” jelasnya.
Shamsul Azri turut menyatakan kuasa diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan menentukan masa yang paling tepat bagi mengumumkan perkara tersebut kepada rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook semalam memaklumkan satu pengumuman penting akan dibuat tidak lama lagi sebagai bentuk penghargaan kepada rakyat.
Tiada maklumat lanjut dikongsikan setakat ini, namun beberapa pihak melihat langkah itu sebagai sebahagian daripada persiapan kerajaan menjelang sidang Parlimen akan datang.
Difahamkan, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) semalam bagi membincangkan beberapa perkara strategik, termasuk kerangka persiapan menghadapi sidang Parlimen.
Sesi berkenaan menyusul selepas libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








