Syarat pelaburan pusat data diperketat, bekalan elektrik rakyat dilindungi
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperketatkan syarat pelaburan pusat data bagi memastikan keperluan elektrik industri berkenaan tidak menjejaskan bekalan kepada pengguna domestik dan sektor ekonomi lain.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebanyak 57 pusat data kini beroperasi di Malaysia dengan menggunakan kapasiti elektrik sebanyak 6,230 megawatt (MW).
“60 lagi pusat data yang diluluskan atau masih dalam pelbagai peringkat pembangunan dijangka memerlukan kapasiti tambahan sebanyak 11,172 MW apabila beroperasi kelak.
“Kerajaan juga akan memastikan kos menaik taraf infrastruktur berkaitan, termasuk talian penghantaran elektrik, ditanggung sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pelabur yang membangunkan pusat data.
“Apabila banyak pusat data datang, kemungkinan besar ia akan memberi masalah kepada talian penghantaran elektrik kita. Jika mereka memerlukan bekalan elektrik misalnya 1,000MW, naik taraf perlu dibuat pada talian penghantaran.
“Pelaburan bagi naik taraf itu juga akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kos mereka yang datang untuk membina pusat data,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Rodziah membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan sumber negara termasuk tanah, elektrik dan air serta pulangan sebenar pelaburan pusat data kepada rakyat.
Johari berkata, kerajaan turut merancang mengasingkan keperluan bekalan elektrik pusat data daripada sistem bekalan sedia ada yang memenuhi permintaan isi rumah dan industri lain.
“Permohonan bekalan elektrik bagi pusat data akan diteliti bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST) serta dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan bagi memastikan keperluan tambahan itu tidak menjejaskan rizab bekalan elektrik negara,” katanya.
Dalam aspek penggunaan air, beliau berkata, kerajaan negeri perlu berhati-hati ketika meluluskan permohonan bekalan air kepada pengendali pusat data kerana sumber berkenaan berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Teknologi kitar semula air yang sudah digunakan juga menjadi satu keperluan yang kita tetapkan. Kita tidak mahu kerajaan negeri terlalu teruja untuk menarik pusat data sehingga tidak mengambil kira jumlah bekalan air yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan mahu memastikan pelaburan pusat data turut memberikan manfaat lebih besar kepada ekonomi tempatan, termasuk melalui perolehan barangan dan perkhidmatan daripada syarikat tempatan serta pembangunan tenaga kerja mahir.
Beliau berkata, kerajaan menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi pusat data baharu bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri berkenaan.
Antara aspek yang diberi perhatian ialah penggunaan khidmat kejuruteraan, kontraktor, sistem penyejukan, sistem elektrik dan peralatan yang boleh dibekalkan syarikat tempatan.
Kerajaan juga mahu memastikan jurutera, juruteknik dan pakar tempatan mendapat peluang membina kepakaran dalam industri pusat data yang semakin berkembang, selain memperluas akses kepada kemudahan pengkomputeran untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







