BERITA SEMASA

BERSAMA gesa DAP hentikan polemik gaji minimum, utamakan pekerja

KUALA LUMPUR – Pertelingkahan pemimpin DAP berhubung isu gaji minimum perlu dihentikan bagi memastikan usaha meningkatkan pendapatan pekerja Malaysia tidak terus dibayangi kepentingan politik, tegas Parti BERSAMA.

Pemimpin BERSAMA, Lee Chean Chung dan Jurucakap dasar parti itu, Sum Dek Joe berkata, gaji penengah bulanan pekerja Malaysia hanya meningkat RM27 bagi tempoh Mac 2025 hingga Mac 2026, sekali gus menunjukkan keperluan untuk menangani masalah gaji rendah secara lebih serius.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, mereka berkata rakyat memerlukan penyelesaian berkesan untuk meningkatkan pendapatan, bukannya pertelingkahan politik yang mengabaikan kebajikan golongan pekerja.

BERSAMA turut mengkritik cadangan Lim Guan Eng untuk mengecualikan pekerja asing daripada kenaikan gaji minimum kerana langkah itu didakwa boleh menggalakkan majikan terus bergantung kepada tenaga kerja asing yang lebih murah.

Menurut parti itu, keadaan berkenaan boleh mengurangkan insentif kepada majikan untuk mengambil pekerja tempatan atau melabur dalam automasi bagi meningkatkan produktiviti.

“Malaysia tidak memerlukan satu lagi cadangan populis yang akan menyebabkan ekonomi kita terus terperangkap dalam model gaji rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini..

Dalam masa sama, BERSAMA mempersoalkan kenyataan Teng Chang Khim berkaitan penggunaan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam isu penetapan gaji minimum mengikut kewarganegaraan.

Menurut parti itu, Konvensyen ILO No. 100 yang diratifikasi Malaysia berkaitan prinsip gaji sama rata antara lelaki dan wanita, bukannya diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan.

Sebaliknya, BERSAMA menyatakan Konvensyen ILO No. 97 berkaitan pekerja migran dan larangan diskriminasi dalam pembayaran gaji, namun mendakwa konvensyen itu hanya terpakai di Sabah serta tidak berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia atau Sarawak.

“Kesilapan asas dalam memahami undang-undang antarabangsa seperti ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila dibuat oleh seorang pengerusi agensi kerajaan,” menurut kenyataan itu.

BERSAMA turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027.

“Hal ini kerana, pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta berisiko menyebabkan sebahagian pekerja bergaji rendah tidak menerima manfaat kenaikan tersebut.

“Malah, pengecualian itu boleh membuka ruang kepada syarikat menyusun semula operasi perniagaan bagi memastikan mereka terus layak menikmati pengecualian berkenaan.

“Bagaimana dasar gaji minimum boleh dianggap membantu pekerja bergaji rendah jika ramai pekerja tempatan yang sepatutnya dibantu akhirnya tercicir?” tambahnya.

Parti berkenaan berpandangan kenaikan gaji minimum sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah struktur gaji rendah yang berlarutan sejak dasar itu diperkenalkan pada 2013.

Menurut BERSAMA, pertumbuhan gaji sebenar masih ketinggalan berbanding peningkatan produktiviti, manakala pekerja mahir berdepan pertumbuhan gaji lebih perlahan berbanding pekerja berkemahiran rendah.

Keadaan itu turut menyumbang kepada fenomena wage compression, iaitu jurang gaji antara pekerja berkemahiran tinggi dengan pekerja berkemahiran rendah semakin mengecil.

Sebagai langkah alternatif, BERSAMA menerusi Belanjawan Alternatif 2027 mencadangkan peluasan Kerangka Gaji Progresif (PWP) serta pelaksanaan Levi Pekerja Asing Berperingkat (MTLM) bagi menggalakkan majikan menawarkan gaji lebih tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.

Parti itu turut mencadangkan supaya hasil kutipan levi pekerja asing digunakan untuk membantu PMKS melabur dalam automasi bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan membayar gaji lebih baik.

“Matlamatnya jelas, supaya syarikat dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja murah, meningkatkan produktiviti dan membayar gaji yang lebih tinggi kepada setiap pekerja,” katanya.

BERSAMA menegaskan Lim dan Teng perlu menilai semula pendekatan masing-masing dengan meletakkan kepentingan pekerja sebagai keutamaan ketika rakyat terus berdepan gaji rendah dan peningkatan kos sara hidup.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button