POLITIK

Lebih 200,000 ahli BERSATU didakwa tinggalkan parti sertai kem Hamzah

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi BERSATU Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli parti itu sudah keluar atau dijangka meninggalkan BERSATU untuk menyertai perjuangan ‘Reset’ yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut beliau, penghijrahan besar-besaran ahli itu bukan berpunca daripada tindakan Hamzah, sebaliknya disebabkan budaya dalaman parti yang didakwa semakin mengecewakan akar umbi.

Beliau berkata, ahli mula hilang keyakinan apabila parti didakwa mengamalkan budaya pilih kasih dalam tindakan disiplin selain terlalu bertolak ansur terhadap pemimpin yang mempunyai rekod moral meragukan.

“Apabila sesebuah parti politik mula beroperasi seperti syarikat sendirian berhad, memilih bulu dalam tindakan disiplin terhadap ahli, membenarkan pemimpin yang kalah diangkat semula serta memandang ringan isu rasuah, maka secara semula jadi ahli akan mula membenci budaya seperti ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat menerima laporan mengenai gerakan akar umbi BERSATU yang didakwa cenderung bersama ‘Team Reset’ pimpinan Hamzah.

Perkembangan itu dikatakan memberi kesan terhadap kekuatan jentera Perikatan Nasional di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Abdul Rahim berkata, budaya memuja pemimpin secara melampau dan menganggap teguran sebagai pengkhianatan turut menjadi faktor ahli semakin menjauhkan diri daripada parti.

“Saya sendiri merasakan BERSATU tidak akan pergi jauh dengan budaya negatif dan destruktif yang menjadi asas kepada parti ketika ini,” katanya lagi.

Beliau pada masa sama menegaskan Hamzah tidak sepatutnya dipersalahkan atas perkembangan tersebut.

“Apa yang berlaku dalam parti sendiri serta cara ia diuruskan itulah yang menyebabkan penghijrahan besar-besaran ahli daripada BERSATU,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button