Jenayah & Mahkamah

Polis rakam percakapan 5 saksi kes gangguan seksual KP agensi keselamatan

KUALA LUMPUR – Lima orang saksi telah dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung gangguan seksual melibatkan individu berpangkat ketua pengarah sebuah agensi keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM telah memanggil kelima-lima saksi untuk dirakam percakapan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara esok.

“PDRM telah memanggil seramai (5) orang saksi dan setakat ini tiada saksi lain yang akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Kertas siasatan telah selesai dijalankan oleh pihak PDRM dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 1/12/2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 21 November lalu, polis membuka kertas siasatan terhadap ketua pengarah agensi keselamatan yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang tular di media sosial.

Siasatan dibuat selepas tular satu laporan polis dipercayai dibuat oleh mangsa yang juga penasihat pelaburan mendakwa diganggu secara seksual oleh individu berpangkat datuk berkenaan.

Mangsa dipercayai wanita tempatan berusia 39 tahun mendedahkan mereka bertemu di pejabat suspek sekitar tahun untuk menawarkan peluang pelaburan kewangan.

Show More

Related Articles

Back to top button