11 wanita warga Afrika ditahan melacur di Bukit Bintang
KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 11 wanita disyaki pelacur dari benua Afrika awal pagi semalam ketika menawarkan perkhidmatan persundalan di kawasan tumpuan di sekitar Bukit Bintang, di sini.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur memaklumkan, serbuan dijalankan bermula pukul 2 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian D7 (kongsi gelap, judi, dan maksiat) dengan bantuan Jabatan Imigresen.
“Risikan selama dua minggu mendapati wanita ini masuk sebagai pelancong terdiri daripada warga Ghana, Uganda dan Nigeria.
“Mereka menawarkan perkhidmatan seksual dengan kadar bayaran kira-kira RM200 dan menyasarkan pelanggan yang datang berhibur di sekitar kawasan terbabit,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati rata-rata daripada wanita berkenaan melakukan kegiatan tidak bermoral itu sejak sebulan lalu di kaki-kaki lima sekitar Bukit Bintang.
Katanya, sekiranya pelanggan berminat mereka akan melakukan perbuatan seksual di hotel bajet sekitar kawasan berkenaan atau mana-mana lokasi pilihan pelanggan.
“Hasil risikan juga mendedahkan kegiatan ini tidak dilindungi oleh mana-mana sindiket dan mereka dipercayai bergerak secara solo.
“Siasatan awal individu yang ditahan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong seterusnya menjadikan kegiatan ini sebagai punca pendapatan,” katanya.
Semua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Serbuan turut merampas sejumlah kondom yang dipercayai digunakan wanita terbabit bagi aktiviti tidak bermoral,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







