Lebih 12,000 pesakit masih menanti organ, waris perlu tahu hasrat penderma – Dr Dzulkefly
KUALA LUMPUR – Lebih 12,000 pesakit masih berada dalam senarai menunggu pemindahan organ, walaupun lebih 400,000 rakyat Malaysia telah berikrar menjadi penderma menerusi aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jurang berkenaan antara jumlah pengikrar dan pendermaan sebenar antara lain berlaku apabila ahli keluarga terdekat tidak mengetahui hasrat penderma selepas mereka meninggal dunia.
Beliau berkata, justeru, setiap individu yang telah membuat ikrar pendermaan organ perlu membincangkan hasrat berkenaan bersama keluarga ketika masih sihat.
“Keputusan murni ini telah membina sebuah ‘Warisan Yang Hidup’ (Living Legacy) yang membolehkan pesakit lain meneruskan kehidupan,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Penghargaan Keluarga Penderma dan Bicara Hati Peringkat Kebangsaan 2026 (Zon Pantai Timur), malam tadi.
Dr Dzulkefly berkata, pihaknya merakamkan penghormatan tertinggi kepada keluarga penderma atas ketabahan serta kesediaan mereka menghormati hasrat terakhir insan tersayang.
Menurutnya, pendermaan organ juga merupakan penterjemahan prinsip Maqasid Syariah, khususnya memelihara nyawa (Hifz al-Nafs).
Beliau turut memetik Surah al-Ma’idah ayat 32 yang antara lain menegaskan bahawa memelihara kehidupan seorang manusia seumpama memelihara kehidupan seluruh manusia.
“Selagi penerima organ itu beribadah dan berbakti, pahalanya akan terus mengalir buat penderma,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menyeru rakyat Malaysia supaya berbincang dengan keluarga mengenai hasrat untuk menderma organ menerusi tema ‘Warisku, Hormati Ikrarku’.

Katanya, mereka yang belum membuat ikrar juga boleh menyatakan hasrat untuk menjadi penderma organ dengan mudah menerusi aplikasi MySejahtera.
Kempen berkenaan memberi penekanan kepada kepentingan sokongan waris dalam merealisasikan hasrat penderma.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kes kegagalan organ akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) serta pertambahan populasi warga emas menjadikan agenda pemindahan organ semakin penting kepada sistem kesihatan negara.
“KKM bertekad mengangkat Transplantasi Organ sebagai Agenda Nasional menjelang 2026. Ia bukan lagi sekadar isu klinikal, tetapi satu tuntutan moral, kelestarian ekonomi dan reformasi asas sistem kesihatan negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Mercy Flight, pihak mahkamah, Jabatan Mufti serta petugas di National Transplant Centre (NTC) dan hospital seluruh negara yang memainkan peranan dalam menjayakan proses pendermaan dan pemindahan organ.
“Kita memperjuangkan agenda ini bukan sekadar untuk mengingati kematian, tetapi kerana kita amat menghargai erti sebuah kehidupan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








