BERITA SEMASA

Pelajar PSIS terus berbakti selepas meninggal dunia, derma organ bantu pesakit lain

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor terus menabur bakti walaupun selepas menghembuskan nafas terakhir apabila organ miliknya didermakan bagi memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan.

Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee, 19, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.50 petang kelmarin sebelum menjalani prosedur pendermaan organ di Hospital Selayang pada awal pagi semalam.

Pengorbanan terakhir pelajar Diploma Kewangan Islam, Jabatan Perdagangan PSIS itu dikongsikan bekas guru kelasnya, Hizandie Shuaib menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Hizandie, Allahyarham bukan sekadar meninggalkan kenangan indah sepanjang hayatnya, malah pemergiannya turut membawa sinar kepada insan lain menerusi pendermaan organ.

“Anak yang baik ini tidak ‘pulang’ begitu sahaja. Arwah akan menjalani prosedur pembedahan derma organ yang akan menjadi amal jariah terakhir arwah sebagai bekalan akhirat.

“Moga memberi manfaat besar kepada bakal penerima organ yang memerlukan nanti,” katanya.

Beliau turut berkongsi detik menyentuh hati ketika menggenggam tangan kanan Allahyarham buat kali terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, namun tiada lagi balasan seperti kebiasaannya ketika Allahyarham masih bersekolah.

“Tangan kanan itulah yang selalu dihulurkan untuk bersalaman dengan saya setiap kali bertemu. Maafkan Sensei, Nabil. Aku tak mampu menahan sebak.

“Ketika hidup disayangi, selepas meninggal dunia masih berbakti. Rezeki arwah dengan pengakhiran yang begitu indah,” katanya lagi.

Hizandie berkata, beliau mengenali Allahyarham selama lima tahun sebagai anak didiknya menerusi sesi pembelajaran di dalam kelas selain aktiviti bola sepak dan kokurikulum.

Allahyarham dilahirkan pada 26 Julai 2007 dan menghembuskan nafas terakhir sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19.

“Terima kasih Nabil atas semua kenangan sepanjang lima tahun saya mengajar awak. Jasamu akan terus dikenang. Syurga untukmu. Tariklah tangan gurumu ini bersamamu nanti,” katanya.

Sementara itu, warga perubatan Hospital Selayang bersama ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham turut mengadakan ‘honour walk’ sebagai penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke dewan bedah untuk prosedur pendermaan organ.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang dan selamat dikebumikan di Sabak Bernam selepas solat Asar semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button