BERITA SEMASA

Ibu cekal tunaikan hasrat anak dermakan organ

KUALA LUMPUR – Kecekalan seorang ibu menunaikan hasrat terakhir anaknya untuk mendermakan organ mengundang rasa sebak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, pemergian Allahyarham Muhammad Zahran Mohd Zuraidi bukan sekadar kehilangan, sebaliknya memberi makna besar apabila arwah meninggalkan ‘nyawa’ kepada insan lain melalui pendermaan organ.

Menurutnya, organ yang didermakan termasuk hati, buah pinggang, kornea dan jantung, sekali gus memberi peluang baharu kepada pesakit yang memerlukan.

“Beliau meninggalkan ‘nyawa’ buat insan lain melalui organ yang didermakan,” katanya menerusi hantaran di laman X semalam.

Beliau turut menzahirkan rasa terharu terhadap kecekalan ibu Allahyarham, Rosnita Ab Halim yang tabah mengiringi pemergian anaknya.

“Di saat hiba menyelubungi hati, beliau memilih untuk memuliakan hasrat terakhir anaknya. Ini mencerminkan semangat ‘Warisku, Hormati Ikrarku’,” katanya lagi.

Dzulkefly turut berkata, lebih 400,000 individu telah mendaftar sebagai penderma organ menerusi aplikasi MySejahtera.

Namun katanya, kira-kira 10,000 pesakit masih berada dalam senarai menunggu susulan keengganan waris untuk memberikan keizinan pendermaan.

Sementara itu, beliau turut berkongsi rakaman video memaparkan petugas kesihatan di Hospital Selayang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum proses pembedahan organ dijalankan.

Pihak hospital juga memberi ruang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk memberikan ciuman serta pelukan terakhir sebagai tanda perpisahan.

Dalam satu hantaran berasingan, ibu Allahyarham meluahkan rasa bangga terhadap anaknya.

“Bangganya emak dengan Abang… walaupun Abang sudah tiada, tetapi buat kami bangga,” katanya lagi.

Difahamkan, Muhammad Zahran sebelum ini terlibat dalam kemalangan pada 18 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button