Lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung derma organ, bantu selamatkan tiga pesakit
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki berusia 31 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung meninggalkan legasi penuh makna apabila organ utamanya didermakan bagi membantu menyelamatkan nyawa tiga pesakit yang memerlukan rawatan segera.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Nazrul berkata, jenazah Allahyarham Syukri Bazli menjalani proses pengambilan organ dan tisu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pagi tadi.
“Satu buah pinggang dihantar ke Hospital Selayang, manakala satu lagi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hati pula ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur.
“Ketiga-tiga organ ini dihantar menggunakan helikopter pagi tadi bagi membolehkan pembedahan pemindahan organ dilakukan segera kepada penerima,” tulisnya.
Menurutnya lagi, hati Allahyarham akan dipindahkan kepada seorang kanak-kanak, manakala dua buah pinggang itu akan diberikan kepada dua pesakit diabetes yang sedang menjalani proses dialisis.
Selain organ utama, proses pengambilan tulang dan kulit juga dijalankan bagi tujuan rawatan pesakit lain yang memerlukan.

Jelasnya, tulang tersebut akan digunakan untuk prosedur bone graft melibatkan mangsa kemalangan, pesakit kanser tulang dan masalah tulang belakang, manakala kulit pula untuk skin graft bagi pesakit melecur teruk serta pembedahan rekonstruktif selepas pembuangan tumor atau kecacatan.
“Semua organ dan tisu yang masih berada dalam keadaan baik didermakan kepada pesakit yang memerlukan.
“Arwah baru berusia 31 tahun dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung merupakan penderma organ dan pihak keluarga juga telah memberikan kebenaran kepada pihak hospital untuk pendermaan organ ini,” katanya lagi.
Tambah beliau, selepas organ diambil, pengantian (prostetik sementara) akan dilakukan untuk mengekalkan bentuk asal fizikal jenazah.
“Jenazah dijangka disolatkan selepas solat Isyak di Masjid Tok Dor, Ajil sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil,” katanya.
Difahamkan, ayah Allahyarham yang juga sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut by JNZA Gaung Global cawangan Kuala Berang akan menguruskan sendiri proses mandi dan kafan jenazah di bilik pengurusan jenazah Masjid Ladang.
Setakat ini, hantaran tersebut menerima lebih 9,600 reaksi, 694 komen dan 1,900 perkongsian semula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








