BERITA SEMASAGAYA HIDUP

Air sejuk bukan penyebab serangan jantung – pakar kardiologi

KUALA LUMPUR – Minum air sejuk bukanlah penyebab berlakunya serangan jantung, sebaliknya ia satu amalan yang sihat.

Pakar Kardiologi, Dr. Onn Akbar Ali berkata, tanggapan itu sering berlegar dalam masyarakat kerana ia dikaitkan dengan aktiviti yang dilakukan seseorang sebelum terkena serangan tersebut.

Dr Onn Akbar Ali
Dr. Onn Akbar menasihatkan masyarakat agar tidak mengaitkan aktiviti yang dilakukan sebagai punca berlakunya serangan jantung bagi mengelakkan trauma pada pesakit. 

“Tak ada kena mengena dengan suhu air yang kita minum menyebabkan serangan jantung. Kadang-kadang apa yang kita buat masa tu, kebetulan masa tu juga kita kena serangan,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial.

Beliau yang merupakan Konsultan Kanan Kardiologi, Hospital Pakar KPJ Kajang turut memberi contoh beberapa situasi di mana seseorang itu mengalami serangan jantung.

“Ada orang yang kena serangan jantung semasa minum air yang sangat sejuk. Ada juga orang yang kena serangan jantung ketika makan sup gearbox.

“Dan kadang-kadang ada pasangan, suami kena serangan jantung semasa tengah bersama dengan isteri.

“Masalahnya apabila kita kaitkan aktiviti yang kita buat masa itu dengan serangan jantung, kita buat andaian bahawa makanan, minuman atau sebab kita bersama dengan isteri atau suami, punca kena serangan jantung.

“Itu benda yang tak baik. Nanti kita tak boleh hidup macam biasa sebab minum air sejuk benda yang sihat. Tak ada apa-apa masalah,” jelasnya.

Selain itu, Dr. Onn menegaskan, mengaitkan serangan jantung dengan aktiviti tertentu boleh menimbulkan trauma psikologi.

“Selepas serangan jantung, ada pesakit yang sampai tengok air sejuk pun takut sebab dia rasa itulah puncanya.

“Ini tanggungjawab doktor untuk leraikan hubungan antara aktiviti yang kita buat dengan serangan jantung.

“Kecuali kalau engkau tengah hisap rokok atau vape, memang kau kena berhentilah. Air sejuk tak ada masalah,” ungkapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button