Nash alami serangan jantung, kini stabil selepas jalani pembedahan
KUALA LUMPUR – Penyanyi rock legenda, Datuk Nashrudin Elias atau Nash dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan susulan serangan jantung yang dialaminya, pagi tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid yang menerima maklumat daripada anak penyanyi berkenaan, Shameer.
Menurut Ayob, Nash dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang sejurus mengalami serangan jantung sebelum menjalani prosedur pembedahan dengan segera.
“Saya dimaklumkan oleh anaknya bahawa Nash mengalami serangan jantung pagi tadi dan terus dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah.
“Alhamdulillah, beliau selamat menjalani pembedahan dan keadaannya kini stabil. Namun, buat masa ini beliau tidak dibenarkan menerima pelawat,” katanya memetik laporan BH Online.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 80 peratus saluran jantung penyanyi itu tersumbat, sekali gus memerlukan tindakan segera.
“Shameer memaklumkan keadaan bapanya yang mengalami serangan jantung dengan 80 peratus saluran tersumbat dan telah selamat menjalani pembedahan petang tadi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ayob turut mengajak orang ramai mendoakan agar Nash segera pulih dan kembali sihat seperti sediakala.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.
Bekas vokalis kumpulan Lefthanded itu popular dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-7 pada tahun 1992.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















