Bekas PM Korea Selatan kritikal akibat serangan jantung di Vietnam
SEOUL – Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Hae-chan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami serangan jantung ketika berada di Vietnam dalam lawatan rasmi sebelum dikejarkan ke sebuah hospital tempatan di Bandar Raya Ho Chi Minh, semalam.
Menurut agensi berita Yonhap, Hae-chan yang juga merupakan Naib Pengerusi Kanan Majlis Penasihat Penyatuan Keamanan (PUAC) rebah pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat ketika bersiap untuk pulang ke Korea Selatan.
Beliau difahamkan berada di Vietnam sejak kelmarin bagi menghadiri mesyuarat cawangan PUAC Vietnam.
Pegawai memaklumkan, Hae-chan sebelum ini mengadu mengalami simptom seperti selesema sehari sebelum berlepas ke Vietnam dan keadaannya semakin merosot sehingga beliau memutuskan untuk pulang lebih awal ke tanah air.
Ketika kejadian, beliau dilaporkan mengalami kesukaran bernafas sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans sambil menerima rawatan kecemasan termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Hae-chan kemudiannya menjalani prosedur pemasangan stent dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan bantuan alat pernafasan mekanikal.
Pegawai turut memaklumkan bahawa beliau mengalami situasi jantung terhenti sebanyak dua kali semasa proses pemindahan dan rawatan kecemasan.
Setakat ini, beliau dijangka terus menerima rawatan di hospital berkenaan sehingga keadaannya kembali stabil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








